"When someone treats you like an option, help them narrow their choices by removing yourself from the equation"
1st September 2013

Monday 29 October 2012

Teman Pengganti

Lagu ni ayah saya guna seminggu sebelum mak pergi. Kuat naluri ayah. Setiap kali telefon dia berdering, pasti terus teringat mak. Tak berdering pun, banyak benda lain yang mengingatkan pada arwah. Kuatkan hati kami sekeluarga,Ya Allah :'(. Ambil masa untuk menghayati bait-bait lirik lagu ni. 





Ketawa bersama
Menangis bersama
Ku bersumpah harap kita
Mati pun bersama

Sejak dua menjak ini
Makin kerap ku diganggu visi
Bila celik, juga bila mimpi
Aku nampak kau, tapi bukan aku yang di sisi
Dia membelaimu dengan izin dan permisi
Sentuhan katanya semuanya kau iakan
Sentuhan jari kau diamkan dan biarkan
Aku redha walau tidak ku damba
Walau hampa semuanya dah dijangka

Beberapa purnama dulu cinta bertahta
Kenangan dibina kita indah belaka
Ketawa bersama, menangis bersama
Ku bersumpah harap kita mati pun bersama
Namun hakikatnya, bukan mudah
Aku sembunyikan gulana-gundah
Segalanya kan berubah
Dengarkan apa yang ku mahu luah

*Rahsia ini
Telah lama ku pendamkan
Tiba masanya
Segala-galanya
Ku ceritakan
Aku kan pergi
Pergi ku tak akan kembali
Tiba masanya
Kau cari teman pengganti

Dalam dunia yang maya, prejudis dan bias
Kita tak terlepas dari terkena tempias
Rimas, ditindas, sembunyi dalam puisi dan kias
Tidak kau bidas, tak berpaling walau sekilas
Hanya kau yang tahu kodeksku yang kompleks
Dalam disleksia cuba kekal dalam konteks
Bila dunia seolah tak memahami
Kau sudi selami, dalami dan mengalami

Setia mendengar, sentiasa hadir
Ingat setiap ulangtahun, setiap hari lahir
Tiba pagi Syawal, kaulah yang terawal
Syawal yang terakhir ini pasti rasa janggal
70 000 hijab harus ku singkap
Ku sorok kitab balik tingkap penjara hinggap
Dalam diam ada, seorang yang ku puja
Kau teristimewa tapi dia yang sempurna

Ulang *

Sejak dua menjak ini, ku mencari fungsi kewujudan
Dalam persekitaran yang penuh kejumudan
Terperangkap dalam jasad, ku keliru
Mujur ada kau si peneutralisasi pilu
Namun aku tetap murung, berkurung
Tubuh makin susut, menunggu tarikh luput
Komplikasi di halaman rusuk kiri
Makin sukar nak bernafas, nak bergerak, nak berdiri

Lagu ini yang terakhir aku sajikan
Kalau rindu nanti bolehlah kau nyanyikan
Jaga diri, jangan makan hati
Yang patah kan tumbuh, yang hilang kan berganti
Bilik dah ku kemas, katil dah ku rapi
Cincin, kunci, dompet dalam laci
Ada sikit wang, itu saja baki
Moga-moga cukup untuk majlis itu nanti

Aku kan pergi
Bertemu kekasih abadi
Tiba masanya
Kau cari teman pengganti


With love, Ainsya Yusoff

Friday 19 October 2012

Al-Fatihah untuk Mak

"Allah Maha Mengetahui, Allah sebaik-baik perancang. Jika mengambilnya jalan yang terbaik, hambaMu ini redha walaupun pahit pada hakikatnya. - Twitter Adik, Nurzam Faiz 

Petang Isnin ( 15 Oktober 2012), saya dapat mesej ayah bertanya samada saya boleh menunda tarikh trial exam atau tidak. Saya dah syak something,pasti ada sesuatu berlaku. Ayah bagitahu doktor minta kumpul semua anak-anaknya dan saudara mara sebab mak sedang kritikal. Ya Allah, menggeletar tubuh bila membaca mesej tersebut. Air mata dah mula mengalir, membayangkan macam-macam. Lalu telefon adik,Mil bertanyakan lebih lanjut. Dia kata ada jangkitan kuman sehingga membuatkan jantung lemah. So, kena bersedia dengan apa-apa kemungkinan. Kalau boleh ingin sahaja saya terbang ke Hospital Taiping tu. Tapi apakan daya, memang tak mampu. Lalu, daripada saya mencari tiket on the spot yang tak tahu bila gerak saya berpakat dengan kawan saya untuk pulang selepas habis kerja waktu kerja beliau. Bayangkan saya terpaksa menunggu dari pukul 4 petang hingga 8 malam. Dalam tempoh masa tu, yaasin tak henti saya bacakan. Mohon keajaiban berlaku.

Kami bergerak dari Shah Alam pada pukul 8.30 malam terus ke Hospital Taiping. Dalam perjalanan pun baca yaasin jugak. Lebih kurang pukul 11.30 malam kami mula masuk ke perkarangan Hospital Taiping.Masa tu memang berdebar. Entah kenapa.

Masuk ke hospital, terus meluru ke katil mak. Ada Kak Yang dan Mil sedang membaca yaasin. Bercucuran air mata bila melihat ibu yang sedang nazak. Helaan nafasnya sungguh menruntun hati. Saya tak pernah lihat mak selemah ini. Dengan pelbagai wayar disambung ke badan. Paling saya takut bila melihat mesin degupan jantung tu. Saya kucup pipi dan dahi lama. Rindu pada mak. Last saya jumpa beliau ketika saya menjaganya ketika cuti Hari Raya Aidilfitri. Selepas tu saya tak balik dah,hanya mengikuti perkembangan dari ahli keluarga. Ikutkan hati nak je saya balik tiap-tiap minggu tapi memikirkan kos, hanya doa saya kirim buat mak sepanjang ketiadaan saya.

Saya duduk baca Yaasin untuk mak walaupun amat payah saya sudahkan. Sebak hati melihat begini sekali keadaan mak. Mak yang periang, garang jugak kadang-kadang, pandai masak, sangat rapat dengan anak-anak kini akan pergi bila-bila masa sahaja. Ya Allah, redhakan lah aku dengan kepergiannya.

Dalam pukul 3 pagi, degupan jantung sudah mula lemah. Mujur ketika tu abang Min dah sampai. Mil panggil abang Min untuk berada di sisi nya, di saat akhir beliau. Berkali-kali  kami mengajarnya mengucap. Kelihatan air mata mengalir di hujung matanya. Kami nak dia tahu, 4 orang anaknya ada disisinya. Mak tak keseorangan. Ya Allah, matikan ibuku, Noraini binti Hassan di dalam iman. Cucuri rahmat ke atasnya. Moga rohnya di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Lagi tambah menghayat hati bila ayah dan adik-adik yang baru sahaja tiba di hospital. Mereka balik tidur sebentar di rumah kenalan ayah. Sangat sebak melihat adik-adik yang masih kecil Nurzam yang akan SPM tahun ni ,Murad - Tingkatan 1 dan Danial- darjah 5. Redhakan mereka ? Fahamkah mereka akan ketiadaan mak ? Bersediakan mereka ? Bagaimana dengan masa depan mereka ? Ya Allah, Engkau kuatkanlah hati-hati kami menempuh ujian ini. Sesungguhnya Engkau lagi Maha Mengetahui.

Jenazah mak sampai di rumah lebih kurang jam 9 pagi. Aku dan Kak Yang mengambil kesempatan untuk menyertai proses memandikan jenazah mak. Ternyata perasaannya berbeza. Sebak pasti ada. Tetapi kami kuatkan jua,kerana ini takdirnya. Allah lebih sayangkan dia. Aku dapat lihat wajahnya tersenyum saat memandikan dia juga ketika mengucupnya buat kali terakhir.

Mak siap dikapan. Adik beradik dan ayah melihat dan mengucup mak buat kali terakhir sebelum disembahyang di masjid. Aku dan Kak Yang terus ke kubur menanti jenazah selesai disembahyangkan untuk dikebumikan. Bacaan Yaasin, doa dan talkin di ketuai oleh Abang Min, abang sulung kami. Suasana sebak menyelubungi tatkala talkin dibacakan. Mungkin kerana ia dalam bahasa Melayu, lebih mudah faham lebih mudah hati tersentuh lagi-lagi apabila yang membacakannya juga turut sebak. Setelah air mawar disiram, tiba masa untuk kami tinggalkan mak di sini. Moga emak tenang di sana. Hanya ingatan, doa dan yaasin dapat kami kirimkan buat mak.

Mak,
Takkan sekali kami lupakan mak yang melahirkan kami. Yang membesarkan kami menjadi orang berguna. Setiap marahmu, bebelan mu, masakan mu, belaian mu kami rindu. Sungguh rindu semenjak mak ditimpa sakit lagi. Kami berharap keajaiban berlaku walaupun mustahil. Kami berharap mak akan kembali pulih seperti sedia kala. Tapi ini pengakhirannya. Allah sebaik-baik perancang. Allah lebih sayangkan mak. Jika ini yang tertulis kami redha. Sesungguhnya kami tak sanggup lagi melihat kesakitan yang mak alami. Moga kita akan bertemu di sana nanti. Al-Fatihan untuk mak,Noraini binti Hassan.

    **************************

Kronologi Ringkas Tentang Penyakit yang mak alami ( tak berapa tepat sangat kerana adik perempuan,Kak Yang yang banyak menjaga sepanjang mak sakit )

11/7/12 - disahkan mengidap strok. Lumpuh sebelah kanan.

 - 2 minggu di tahan di Hospital Ipoh.
 - kemudian di benarkan pulang ketika 1st Ramadhan.
 - di tahan semula di hospital Gerik kerana mengalami bedsore
 - dipindahkan di Hospital Taiping untuk rawatan lanjut selepas seminggu Hari Raya Aidilfitri. Beberapa minggu kemudian dibenarkan tinggal di rumah.
 - 2 minggu tinggal di rumah kemudian di tahan di Hospital Taiping kena disyaki mengalami jangkitan kuman di buah pinggang dan jantung.

16/10/12 - Mak pergi mengadap Ilahi ( nama penyakit dalam sijil kematian adalah Septic Shock Infected to Gluteal Sore )

With love, Ainsya Yusoff

* Entri raya without mak
 
Ainsya Yusoff by Ainsya Yusoff Studio